elizahabete
PENGENALAN Malaysia merupakan sebuah negara yang unik di mana rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum iaitu di Semenanjung Malaysia terdiri kaum Melayu, Cina dan India. Manakala, di Sabah terdiri daripada suku kaum Rungus, Dusun, Bajau, Eranun, Sungai, Kimaragang, Suluk dan Murut serta kaum di Sarawak pula antaranya terdiri daripada kaum Iban, Melanau dan lain-lain (Tang Chee Yee, 2006). Oleh itu, perpaduan dan integrasi nasioal adalah satu keperluan bagi menjamin rakyat hidup dalam suasana aman damai. Perpaduan nasional umumnya merujuk kepada penyatuan berbagai-bagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza-beza. Usaha ke arah perpaduan di Malaysia dapat dilihat melalui penyatuan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Semenanjung (Syed Omar Syed Agil Al-Attas, 2007). Manakala, konsep integrasi adalah lebih luas. Ia dikatakan satu proses yang abstrak, satu penyatuan yang sebati dan berpanjangan. Integrasi merupakan satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti. Ekoran kejadian 13 Mei 1969, kerajaan mula menumpukan usaha-usaha dan strategi ke arah mewujudkan integrasi nasional (Syed Omar Syed Agil Al-Attas, 2007). Secara ringkasnya, perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi negara Malaysia. Konsep perpaduan sangat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan politik dalam jangka masa yang panjang (Syed Omar Syed Agil Al-Attas, 2007). Perpaduan dan integrasi nasional juga memberi maksud bahawa satu proses dan sistem hidup yang menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dan negara menerusi ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat itu dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta semangat kebangsaan yang tunggal dikalangan mereka. Selain itu, ia juga membawa maksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dikalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial dan penempatan di dalam sesebuah unit politik (Natra Nadea, 2010). Bagi memantapkan lagi perpaduan dikalangan rakyat pelbagai etnik dan kaum, kerajaan telah menubuhkan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 27 Oktober 1990 dengan tujuan untuk menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional, memberi bantuan khidmat kebajikan masyarakat, membangunkan dan mengintegrasikan masyarakat kaum Asli, memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara serta menyelaraskan program kependudukan dan pembangunan keluarga (Natra Nadea, 2010). Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah melancarkan dan melaksanakan beberapa program dan dasar-dasar bagi menjamin kepentingan semua kaum termasuk kaum minoriti tanpa mengira kepentingan kaum majoriti melalui Program Belia, Sekolah Wawasan dan Pelan Integriti Nasional (PIN) (Amir Hasan Dewi, 2006).