ninda17
Bawang Putih Bawang Merah Sejak ketiadaan ayah dan ibu kandungnya, Bawang Putih tinggal bersama ibu tirinya, Mak Kundur dan adik tirinya Bawang Merah. Mereka sangat benci akan Bawang Putih. Dia sering dimarahi dan dipukul. Pada suatu malam, Bawang Putih bermimpi bertemu ibunya. Ibunya menyuruhnya masuk ke hutan dan mencari pohon beringin rendang. "Pergilah hiburkan hatimu dan bersabarlah, suatu hari nanti kau akan mendapat kebahagiaan.” Keesokan harinya, Bawang Putih segera menyiapkan kerja-kerja rumah. Setelah ibu tirinya pergi bekerja dan adik tirinya masih tidur, Bawang Putih pun masuk ke hutan. Dia mencari pohon beringin rendang itu. Setelah puas mencari, dia pun sampai ke situ. Dia terpandang sebuah buaian yang tergantung di pohon beringin. Tempat tersebut seakan-akan sebuah taman tempat puteri kayangan turun ke bumi untuk bermain. Ketika dia duduk di atas buaian itu, tiba-tiba buaian itu berayun dengan sendiri. Semakin lama semakin laju. Dia dapat melihat bunga-bunga yang mengelilingi pohon beringin itu turut bergoyang-goyang. Hatinya terasa sungguh terhibur. Tiba-tiba Bawang Putih teringatkan Mak Kundur. Ibu tirinya pasti akan memarahinya apabila pulang dan mendapati dirinya tiada di rumah. Namun Bawang Putih tidak tahu bagaimana hendak memberhentikan buaian itu. Bawang Putih lalu berkata kepada buaian itu, "Wahai buaian, tolonglah berhenti, aku ingin pulang ke rumah.” Tiba-tiba buaian itu pun berhenti dengan sendirinya. Pokok-pokok bunga juga turut berhenti bergoyang. Pada suatu hari Bawang Putih bermain buaian seperti biasa. Tanpa disedarinya seorang putera raja sedang memerhatikannya. Baginda tertarik melihat bagaimana buaian itu boleh berayun sendiri apabila Bawang Putih menaikinya. Ketika Bawang Putih hendak pulang, baginda menyuruh pengiring baginda untuk mengekorinya. Setelah mendapat tahu di mana Bawang Putih itu tinggal, baginda pergi ke rumah tersebut. Ketika itu Mak Kundur dan Bawang Merah berada di halaman rumah.” Di manakah anak makcik yang seorang lagi?” Tanya baginda. Mak Kundur menyangka baginda adalah orang kaya.” Makcik mana ada anak yang lain. Bawang Merah inilah satu-satunya anak makcik,” kata Mak Kundur. Baginda menceritakan tentang gadis yang dilihatnya bermain buaian di hutan. "Bawang Merah inilah yang bermain buaian itu,” bohong Mak Kundur. Setelah beredar, Mak Kundur memaksa Bawang Putih menunjukkan tempat buaian itu. Mak Kundur membawa Bawang Merah bermain buaian itu. Namun buaian itu tidak berayun dengan sendiri. Putera raja mengintainya dari sebalik pokok. Baginda menyuruh pengiringnya ke rumah Mak Kundur dan membawa Bawang Putih ke situ. Pengiringnya pun pergi tetapi mendapati Bawang Putih dikurung dan diikat. Maka dia segera membuka ikatan itu dan membawa gadis itu bertemu dengan baginda. Mak Kundur terkejut melihat kehadiran baginda dan Bawang Putih. Apabila Bawang Putih berbuai dan menyanyi, buaian itupun berayun laju. "Makcik telah berbohong kepada beta!” kata putera raja. Ketika itu barulah Mak Kundur tahu bahawa lelaki itu adalah putera raja. "Kamu ibu yang zalim. Kamu telah menyeksa Bawang Putih!” kata baginda lagi. Mak Kundur menangis dan meminta ampun kepada baginda. Bawang Merah pula meraung dan menangis kerana mencemburui Bawang Putih. Bawang Putih yang baik hati telah meminta putera raja mengampunkan Mak Kundur dan Bawang Merah. Baginda kagum dengan sifat kemuliaan Bawang Putih. Putera raja akhirnya mengahwini Bawang Putih. Pengajaran: 1. Jangan sesekali menipu orang lain kerana perkara itu pasti membawa padah. 2. Sentiasa berbuat baik dengan orang lain pasti akan mendapat balasan yang baik. 3. Sikap kasih sayang dan hormat-menghormati amat penting dalam hubungan kekeluargaan.