dwieka121
Perkembangan AcehSultan Alaiddin Ali Mughaiyat Syah (916-936 H/1511-1530 M) mempersatukan kerajaan-kerajaan kecil menjadi negara besar dengan nama Kerajaan Aceh Darussalam. Ia juga meningkatkan kekuatannya untuk menyerang Portugis mulai dari kerajaan Daya, kerajaan Pedir, kerajaan Samudera Pasè, kerajaan Peureulak, kerajaan Beunua dan kerajaan Aru di Sumatera Timur serta Malaka di semenanjung Malaysia.[2] Fadhlullah bin Jamil misalnya menegaskan bahawa kerajaan Aceh yang dimaksudkan dalam perbincangan ini adalah sebuah kerajaan Islam yang diasaskan oleh Sultan Ali Mughaiyat Syah (916-936 H/1511-1530 M). Melalui usahanya yang sangat gigih, baginda telah menyatukan Aceh Besar sebagai inti Kerajaan Aceh dengan kerajaan Daya yang terletak di kawasan Aceh Barat (sekarang Kabupaten Aceh Jaya) pada tahun 1520 M. Seterusnya diikuti pula oleh penaklukan keatas Pidie (Pedir) pada tahun 1521 M dan Pasai serta Aru pada tahun 1524 M. Sejak tertakluknya daerah-daerah ini maka terbentuklah sebuah kerajaan yang merdeka lagi berdaulat yang seterusnya lebih dikenal dengan nama Kerajaan Aceh Darussalam.[3]Sebagaimana yang telah menjadi pendapat umum bahawa terbentuknya Kerajaan Aceh Darussalam yang diisytiharkan oleh Sultan Ali Mughaiyat Syah adalah setelah baginda lebih awal mempersatukan kerajaan-kerajaan kecil dalam wilayah Aceh dan Sumatera Utara hari ini. Kerajaan yang dimaksud adalah: Kerajaan Daya di Aceh Barat (sekarang berada dalam wilayah Kabupaten Aceh Jaya), Kerajaan Aceh yang kini menjadi wilayah Aceh Besar dan Kota Banda Aceh, Kerajaan Pedir yang sekarang menjadi Kabupaten Pidie, Kerajaan Samudera Pasè yang hari ini menjadi wilayah Aceh Utara, Kerajaan Lingé yang sekarang ini menjadi Kabupaten Aceh Tengah, Kerajaan Peureulak dan Kerajaan Beunua yang sekarang menjadi bahagian daripada Aceh Timur dan Aceh Tamiang, Kerajaan Aru yang kini menjadi wilayah Sumatera Utara.[4]