Widyaningrumsty
Setelah Allah menerangkan tentang sifat ahli neraka Jahannam pada ayat sebelumnya iaitu ayat 179, yang mana sesungguhnya mereka merupakan golongan yang lalai kerana tidak menggunakan aqal dan hati mereka untuk memahami al-Qur’an, di samping membersihkan jiwa mereka dengan iman dan ilmu yang bermanfaat, maka ayat 180 ini hadir sebagai petunjuk tentang cara terbaik untuk merawat penyakit lalai dengan senantiasa mengingati dan menyeru nama-nama Allah yang baik itu. Kemudian, ayat selepasnya menghuraikan tentang 2 golongan umat Muhammad iaitu golongan yang memberi petunjuk dengan hak dan adil , manakala satu golongan lagi merupakan golongan yang mendustakan ayat Allah dan menyesatkan. Justeru, ternyata kesinambungan ayat sebelum dan selepas bagi ayat 180 surah al-A‘raf telah disusun oleh Allah dengan begitu rapi dan menjadi pengajaran yang berguna kepada kita.